Monday, 31 March 2014

SEMUT DAN MERPATI


Pada suatu hari, seekor semut keluar daripada sarangnya di atas pokok.  Dia berasa lapar dan kehausan.  Semut itu pergi menuju ke dahan pokok dan ternampak ada sebiji buah epal kemerahan.  Dia berasa sangat gembira dan berlari untuk mendapatkan buah itu.  Tiba-tiba datang seekor monyet ke dahan itu dan mengambil buah epal.  Semut terkejut dan berkata kepada monyet, 'Wahai monyet, dari manakah kamu datang? Tiba-tiba saja lompat ke dahan ini dan mengambil buah epal saya'.  Monyet pun menjawab, 'Ini buah epal saya, kamu terlalu kecil untuk memakannya.  Jadi, biarlah saya makan epal ini'.  Monyet itu pun memakan epal tersebut itu sambil ketawa.

          Semut berasa sedih lalu turun dari pokok itu dan pergi ke tebing sungai untuk minum air.  Di tebing sungai, semut berjumpa pula dengan seekor katak.  Katak menyapa mesra semut itu.  'Hai semut! Kamu apa khabar?' Sambil tersenyum.  Semut pun membalas, 'Saya baik-baik saja katak'.  Katak berkata lagi, 'Kamu datang untuk minum air ya? Hati-hati ya semut.  Jangan sampai terjatuh'.  Semut membalas. ' Terima kasih katak.  Saya akan ingat pesan kamu itu'.  Katak itu senyum lalu melompat masuk ke dalam sungai.  Semut pun terus meminum air di tebing sungai itu.





        Tiba-tiba angin bertiup kencang.  Semut itu terjatuh ke dalam sungai. Semut yang malang itu terkapai-kapai di dalam air.  Ikan-ikan yang berada di dalam sungai hanya memandang ke arah semut itu tetapi tidak membantunya.  Semut berasa tentunya dia akan mati lemas.  Seekor burung merpati yang sedang berehat di pokok berdekatan telah terlihat apa yang berlaku.  Dengan pantas, burung merpati memetik sehelai daun dan menjatuhkannya ke permukaan air berhampiran semut.  Semut memanjat ke atas daun itu.





        Akhirnya, semut telah hanyut ke tebing sungai dengan selamat.

Semut berkata, 'Terima kasih, sahabatku.  Saya akan menolongmu suatu hari nanti'.


        Beberapa hari kemudian, seorang pemburu datang ke tempat itu untuk memburu burung.  Dia ternampak merpati itu sedang berehat di atas sepohon pokok.  Dia mengeluarkan busur dan anak panahnya.  Pemburu mengarahkan busur dan anak panahnya ke arah burung merpati.  Semut ternampak segalanya.  Dia teringat burung merpati itu pernah menolongnya.  Dengan pantas, semut telah menggigit kaki pemburu.  Pemburu melompat kesakitan dan anak panahnya terlepas sasaran.  Apabila terdengar jeritan kesakitan pemburu, burung merpati pun terbang pergi menyelamatkan diri.

'Terima kasih semut.  Kali ini kamu telah menolong saya'.  Ucap burung merpati kepada semut.


Wednesday, 26 March 2014

JOM KENALI NAMA HAIWAN

Sebutkan nama watak haiwan-haiwan yang terdapat dalam cerita Semut Hitam dan Merpati.






























Tuesday, 25 March 2014

SAHABAT SELAMANYA



Nilai yang terkandung dalam lagu:

1- Nilai Persahabatan
* Bermain menyanyi bersama

2- Nilai Kesetiaan
*Sahabat untuk selamanya
Bersama untuk selamanya

3- Nilai Kasih Sayang
*Berbagi dan saling menjaga

Sunday, 23 March 2014

BELALANG




Di dalam sebuah taman bunga, terdapat seekor belalang yang suka menyanyi dan menari. Ia berasa gembira kerana dapat hidup di dalam taman yang indah itu. Di dalam taman itu terdapat juga berbagai-bagai jenis bunga seperti bunga raya, mawar, dahlia, kenanga, melur dan cempaka. Taman bunga itu berwarna-warni dan harum. Tiap-tiap hari, belalang akan menyanyi dan menari. Ia akan melompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Belalang mempunyai ramai teman di dalam taman itu. Ada rama-rama, kumbang, lebah dan semut. Mereka dapat tinggal di taman itu. Mereka sering bermain dan menyanyi bersama-sama. 

        Pada suatu hari, belalang mencari kesemua rakan-rakannya untuk bermain tetapi mereka semua sedang sibuk mencari makanan dan berpindah untuk berlindung sebelum musim hujan tiba. Belalang tidak percaya hujan akan tujun sebentar lagi. Ia asyik menyanyi dan menari sendirian. Setelah lama menyanyi, belalang pulang ke rumah dan tidur kerana keletihan. Hujan turun dengan lebat lalu belalang terbangun. Ia berasa sangat lapar tetapi di rumahnya tiada makanan. 


        “ Bila hujan berhenti bolehlah saya mencari makanan,” katanya dalam hati. Belalang berbaring semula dan tertidur. Apabila dia terjaga, hujan tetap turun dengan lebat. Belalang berasa menyesal kerana tidak mengikut nasihat rakannya untuk mencari makanan sebelum musim hujan. Akhirnya belalang jatuh sakit. Rakan-rakan belalang tidak mengetahui keadaan belalang yang sakit. Apabila hujan berhenti,lebah teringat akan belalang. Dia keluar dari sarangnya dan pergi ke rumah belalang. Ia amat terperanjat melihat belalang yang terlantar di atas katil di rumah.        “Saya akan membawa makanan,” kata lebah kepada belalang apabila melihat belalang terlalu lemah dan pucat. Lebah mencari semut dan rakannya yang lain untuk menolong belalang. Akhirnya belalang sembuh dan sihat. Belalang insaf dan sering mendengar nasihat daripada rakannya.

Saturday, 22 March 2014

ANJING DENGAN BAYANG-BAYANG


        Suatu hari seekor anjing terjumpa dengan tulang yang besar. Anjing sangat gembira lalu berlari-lari pulang ke rumahnya sambil menggonggong tulang itu.

        Di dalam perjalanan, anjing melalui sebuah titi pada sungai yang dalam dan sangat jernih. Anjing memandang ke arah sungai di bawahnya dan ternampak bayang-bayangnya yang disangkakan anjing lain yang juga membawa tulang. 


        Kerana tamakkan tulang itu, anjing itu menyalak dan menerkam ke arah anjing di dalam sungai. Akibatnya, anjing itu basah kuyup dan tulang di dalam mulutnya terlepas ke dasar sungai.
Anjing menyesal kerana terlalu tamak, akibatnya dia yang rugi.

Friday, 21 March 2014

PEMOTONG KAYU YANG JUJUR

 Tersebutlah kisah nun jauh di pedalaman, tinggalnya seorang pemotong kayu yang tua dan miskin. Adapun kemampuannya hanyalah mencari rezeki dengan menebang pokok yang sederhana besarnya untuk dijual sebagai kayu api. Hanya isterinyalah peneman hidup saban hari tanpa dikurniakan anak.

        Dijadikan cerita, takdirnya pada suatu pagi, pergilah si tua tersebut jauh ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit.
        
Maka ke hutanlah si tua seorangan awal pagi sebelum terbit mentari untuk mencari kayu api. Seharianlah si tua menebang pokok dengan kapak besinya yang telah uzur seuzur usianya. Sehinggalah kepenatan tidak jua dia berhenti.

        Tiba-tiba genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu termasuk kedalam sungai yang dalam. Menangis sayulah si tua kerana kehilangan kapak yang menjadi punca rezeki. Hendak terjun mencari takut disambar arus, merataplah ia mengenangkan nasib.

        Maka bersimpatilah pari-pari dilangit melihat kegundahan si tua tersebut lalu turunlah ia bertanya, "Wahai orang tua. Kenapa bersedih hati?"
        Dengan nada perasaan takut dan terkejut, orang tua tersebut menceritakan apa yang berlaku.
        "Baiklah, akan kubantu mencari kapak engkau yang tenggelam." Lalu dengan serta merta terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa minit timbul lah kembali si pari-pari sambil mebawa kapak emas lalu dihulur kepada situa. Dengan sedih, jawab situa, "Bukan. Ini bukan kepunyaan hamba. Tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini."


        Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak. Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari membawakannya kapak besi yang uzur.

        Maka apabila terpandang akan kapak itu, giranglah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujurannya kapak emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.

        Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.


Keesokan harinya isteri si tua itupun sihat.

Thursday, 20 March 2014

SANG KANCIL DENGAN BUAYA

Pada suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan. Sedang dia berjalan, tiba-tiba dia ternampak akan pepohon buah-buahan yang rimbun merendang di seberang sungai.

"Alangkah nikmatnya jika aku dapat merasai buah-buahan itu", fikirnya sendiri

"Tetapi, bagaimana aku hendak menyeberang ke sana, aku bukannya pandai berenang", timbul sedikit keraguan dalam dirinya.

Setelah mundar mandir memikirkan cara untuk menyeberang sungai itu, timbul satu idea untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.


"Nasib baik aku dikurniakan akal yang bijak", katanya sendirian sambil berlari ke tebing sungai untuk menjalankan misinya.

"Sang Bedal, ooo, Sang Bedal!", panggil Sang Kancil.

Tiba-tiba muncul ketua buaya-buaya di sungai itu. Dengan bengisnya dia berkata

"Apa kau mahu Kancil?", sambil matanya meliar memerhatikan tubuh Sang Kancil

"Alangkah enaknya kalau diratah kancil ni", fikirnya yang sedang kelaparan itu.

"Oh, begini, Raja Sulaiman menitahkan aku untuk menghitung berapa banyak buaya yang ada di sungai ini. Baginda mahu menjemput kalian ke kendurinya", mulalah Sang Kancil menjalankan tipu helahnya.


"Benarkah begitu!", serta merta nafsu lapar Sang Bedal mula menguasai diri dan dengan pantas dia memanggil anak buahnya

Maka datanglah gerombolan buaya mengikut arahan tuan mereka.


"Jadi Sang Kancil tunggu apa lagi, cepatlah hitung bilangan kami sekarang", kata Sang Bedal kepada Sang Kancil.

"Hahaha, siap kau Bedal, mudahnya kau kena tipu dengan aku", kata sang Kancil dalam hati.

"Sabar Sang Bedal, aku fikir lebih baik jika kamu semua beratur hingga ke hujung sana. Lebih mudah untuk aku kira kamu semua", ujarnya.

Tanpa berfikir panjang, Sang Bedal mengarahkan anak buahnya untuk menurut cadangan Sang Kancil tadi. Selesai mereka beratur, mulalah Sang Kancil melompat ke atas buaya yang pertama.

"Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk", hitung Sang Kancil

Tiba sahaja di tebing sebelah sana, Sang Bedal bertanya,

"Jadi bila kami boleh pergi ke kenduri Raja Sulaiman, Kancil",


"Ada 30 ekor buaya yang bodoh di dalam sungai ini. Maaf Sang Bedal, sebenarnya tiada kenduri Raja Sulaiman, aku cuma mahu menikmati buah-buahan di sini. Hahaha, terima kasih Sang Bedal", kata sang Kancil dalam nada mengejek.

Sambil buaya-buaya lain mengerumuni Sang Bedal yang sedang keliru atas penipuan Sang Kancil, mereka bertanya,


"Jadi tak adalah makan", kata buaya yang pertama

"Kita semua dah kena tipu", kata buaya kedua


"Ini semua kau punya pasal", kata buaya ketiga sambil menyalahkan Sang Bedal. "Serang!!!", serentak mereka menjerit.


Lalu berlarilah Sang Bedal kerana dikejar anak-anak buahnya yang sedang marah. Sambil Sang Kancil dengan asyiknya menikmati buah-buahan itu.

Template by:

Free Blog Templates